Presiden Amerika Syarikat 2009 – Siapa Pilihan Pemimpin Muda Malaysia?

November 5th, 2008 | Tags:

Dalam tempoh hanya beberapa jam lagi, samaada Senator Barack Obama ataupun Senator John Mc Cain akan ditabal sebagai Presiden Amerika Syarikat, kerusi yang paling berkuasa dan berpengaruh di dunia ini. Semalam, dalam rancangan Sudut Pandang Astro Awani , dua pemimpin muda tanahair, Saudara Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dan Saudara Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau) telah diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi pendapat mengenai isu pemilihan Presiden Amerika Syarikat, dan kesannya kepada hubungan antarabangsa, khususnya Malaysia, rantau Asia dan negara-negara Islam. Walaupun mereka tidak menyebut calon pilihan masing-masing dengan nyata, namun pilihan mereka boleh divisualisasikan melalui rumusan sesi tersebut:

Dasar Luar Amerika Syarikat

Saudara Khairy berpesan kepada warga Malaysia untuk tidak terlalu menaruh harapan kepada Barack Obama dari segi dasar luar Amerika Syarikat, sungguhpun populariti calon parti Demokrat itu amat tinggi di negara Malaysia. Ini kerana walaupun Obama yang dijangka menang dilihat lebih sedia mendampingi para pemimpin negara Islam berbanding lawannya John McCain dari parti Republikan, beliau juga mempunyai kedudukan pro-Israel dalam soal kemelut konflik Palestin.

Hak Asasi Manusia

Dalam soal hak asasi manusia pula, Saudara Yusmadi menaruh harapan bahawa Presiden baru Amerika Syarikat akan memperjuangkan hak asasi manusia sejagat, sejajar dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Saudara Khairy bersetuju dengan pandangan tersebut, tetapi meluahkan kekhuatirannya terhadap tradisi Demokrat yang tampak lebih sedia campur tangan dalam negara lain atas alasan memperjuangkan hak asasi manusia.

Dasar Ekonomi Amerika Syarikat

Saudara Khairy berpendapat bahawa dalam isu ekonomi, Obama merupakan calon yang lebih elok untuk Malaysia kerana tampak lebih bersikap adil dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (PPB) seperti yang dilihat dari kecenderungan untuk membatalkan PPB Amerika Utara (NAFTA). Maka, sesiapa pun yang mengambil alih tampuk Presiden Amerika Syarikat perlu lebih menghormati kepentingan Malaysia dalam apa-apa rundingan PPB yang mungkin diadakan kembali pada masa hadapan.

Isu Pemanasan Global

Kedua-dua ahli panel berharap bahawa Presiden baru akan mengambil pendekatan ‘multilateral’ dalam isu iklim dunia kerana perjanjian bilateral biasanya berat sebelah.

Secara keseluruhannya, kedua-dua ahli panel berpendapat bahawa adalah penting untuk Amerika Syarikat kembali menghormati institusi-institusi antarabangsa dan tidak terburu-buru dengan sikap unilateralisme ala-George W Bush.

Share on Facebook